Perbadanan Aset Keretapi

Perbadanan Aset Keretapi (PAK) adalah sebuah Badan Berkanun Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Akta Keretapi 1991 dan dikuatkuasakan pada 1 Ogos 1992 melalui warta Jilid 36 No. 16 bertarikh 30 Julai 1992. Perbadanan ini beroperasi secara rasminya sebagai sebuah organisasi pada 1 Oktober 1992.

Penubuhan PAK adalah bertujuan untuk menjayakan program pengkorporatan Pentadbiran Keretapi Tanah Melayu (KTM) iaitu sebuah utiliti awam yang telah wujud semenjak tahun 1894. Melalui program ini adalah diharapkan agar entiti korporat yang ditubuhkan iaitu KTMB akan dapat memberi fokus kepada aktiviti operasi supaya dapat memulihkan imej serta meningkatkan tahap dan kualiti perkhidmatan keretapi di negara ini.

Langkah mengkorporatkan Pentadbiran KTM menjadi KTMB dan seterusnya penswastaannya serta penubuhan PAK adalah merupakan langkah untuk memberi peluang kepada KTMB untuk meningkatkan kualiti perkhidmatannya tanpa bebanan hutang-hutang lama yang perlu ditanggung.

Pada masa ini PAK dipertanggungjawabkan untuk menguruskan semua harta-harta yang diambil dari pentadbiran KTM sebelum 1991 untuk diurus dan ditadbir, mengikut seksyen 92 dan seksyen 93 Akta Keretapi 1991.